Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan satu pekeliling bertarikh 25 Jun lalu yang menjelaskan tentang aktiviti kokurikulum sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pekeliling itu menyatakan aktiviti kokurikulum perlu dilaksanakan dengan 15 kali perjumpaan keseluruhan bagi aktiviti kokurikulum sepanjang Januari hingga Disember berbanding 36 perjumpaan asal sebelum ini.
Namun laporan BH Online menjelaskan ada pihak sekolah yang tidak mematuhi ketetapan itu. Ini menyebabkan guru merasa terbeban dengan tindakan sekolah terbabit.
Seorang guru berkata pihak pengurusan sekolah memaksa guru melaksanakan aktiviti kokurikulum setiap minggu sepanjang pelaksanaan PKP.
Guru itu menjelaskan beliau dan rakan guru di sekolah sama, diarah melaksanakan aktiviti kokurikulum setiap minggu melalui Google Meet. Ini sekali gus menambahkan beban guru yang juga perlu melaksanakan PdPR untuk pelajar setiap hari.
Menurutnya, isunya bukan guru tidak mahu melaksanakan aktiviti kokurikulum secara dalam talian tetapi pentadbir sekolah yang enggan mengikuti pekeliling KPM.
Guru itu menyatakan setiap minggu tanpa gagal memperuntukkan dua jam melalui Google Meet, untuk aktiviti kokurikulum pelajar. Menurutnya, ini tentunya menambahkan beban tugas guru yang perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan PdPR pada masa ini.
Kehadiran pelajar dalam aktiviti kokurikulum juga semakin merosot berbanding ketika ia mula dilaksanakan dan beliau memohon pentadbir sekolah mengambil berat isu ini.
Ini kerana ada pelajar yang cuba menjimatkan data untuk PdPR tetapi kini perlu menghadiri aktiviti kokurikulum secara dalam talian setiap minggu pula.
NUTP Minta Lapor
Laporan BH Online juga menyatakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta guru-guru yang berdepan tekanan pihak sekolah berkaitan isu terbabit supaya melaporkan kepada pihak NUTP.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang menjelaskan melalui pekeliling bertarikh 25 Jun, telah memberi kelonggaran kepada guru untuk melaksanakan 15 perjumpaan keseluruhan bagi aktiviti kokurikulum sepanjang Januari hingga Disember ini berbanding 36 perjumpaan asal sebelum ini.
Menurutnya pentadbir sekolah sepatutnya memberi guru ruang berbuat demikian sehingga hujung tahun ini jadi mengapa perlu dilaksanakan pelaksanaannya pada waktu kritikal kini?
Sementara itu, Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata aktiviti kokurikulum penting dilaksanakan walaupun secara dalam talian.
Beliau berkata aktiviti kokurikulum yang dijalankan juga lebih kepada pertandingan secara virtual dan pelajar boleh menjalankan tugas atau aktiviti berkenaan di rumah masing-masing.
Menurutnya, aktiviti kokurikulum seperti itu tidak akan menjejaskan PdPR subjek teras. Ia sebagai proses pentaksiran dan pembentukan pelajar secara keseluruhannya.
Tambahnya lagi, guru perlu memikirkan kaedah terbaik bagi memastikan pembangunan pelajar secara keseluruhannya dapat terus dicapai.