
Teknik IMBaKUP adalah salah satu teknik menulis karangan Bahasa Melayu termasuk penulisan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Teknik yang menggabungkan isi karangan, mengapa dikatakan demikian (berkaitan isi), bagaimana berlaku demikian, apakah kesan, disertakan ungkapan menarik seterusnya penegasan kepada isi yang diutarakan.
Penetapan teknik ini dibuat agar setiap karangan pelajar lebih berstruktur dan lebih sistematik serta berkeupayaan menyatakan idea-idea yang menyokong hujah utama.
Menulis isi
Isi pertama yang ditulis boleh dimulakan dengan salah satu ayat di bawah:
I-ISI | Isi Pertama -Salah satu langkah / punca / kesan / kepentingan (tajuk) yang signifikan / dominan/ penting ialah…. -Salah satu langkah / punca / kesan / kepentingan yang memangkin kepada masalah (tajuk) ini ialah… Isi Seterusnya -Selain itu, -Di samping itu, -Sementara itu, -Seterusnya, / Selanjutnya, -Sementelahan itu, / Lebih-lebih lagi, -Seperkara lagi, -Dalam pada itu, -Lain daripada itu, -Dari kaca mata yang lain, -Meninjau daripada skop yang lebih luas, -Pada masa / waktu yang sama, -Jika kita lihat / tinjau / kaji daripada sudut / dimensi / perspektif yang berbeza… -Menelusuri maslahat ini, (maslahat=berfaedah / berguna) -Memetik idea yang seterusnya, -Lontaran idea yang seterusnya ialah -Jika ditelusuri secara mendalam, -Dari sudut kodifikasi yang berbeza, -Dalam nada yang lain / sama -Menelusuri dari faset yang seterusnya (faset=sudut / segi) -Bunga cendana, bunga teratai, idea perdana yang membuka tirai ialah.. -Menyelusuri lontaran idea kedua, -Meniti untaian isi yang ketiga, -Memasuki jendela perbincangan terakhir,…. |
Mengapa demikian
Menulis ayat seterusnya dengan pernyataan yang menyokong isi tadi.
M-MENGAPA | -Hal ini dikatakan berlaku / demikian kerana -Hal ini berlaku / terjadi kerana -Hal ini disebabkan oleh -Hal ini wujud akibat daripada -Hal ini bersangkut-paut dengan -Hal ini berpunca daripada -Hal ini tercetus apabila -Hal ini timbul apabila -Dalam konteks / hal ini -Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa … -Tindakan tersebut perlu dilakukan supaya -Kita sering menonton di kaca televisyen -Kita sering membaca di dada-dada akhbar -Bertitik tolak daripada itu … -Ini menggambarkan bahawa -Ini secara tidak langsung akan -Secara logiknya masa yang -Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita -Keadaan ini seharusnya boleh -Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini -Kendatipun demikian, kita masih -Yang paling nyata ialah -Yang perlu kita pastikan ialah ‘Hal’ boleh ditukar kepada senario / situasi / kemelut / masalah / fenomena’ |
Bagaimana demikian
Mengulas pernyataan ‘mengapa’, bagaimana berlakunya demikian
Ba-BAGAIMANA / CONTOH | Bagaimana: -Dalam hal ini, -Dengan berbuat demikian, -Dengan itu, -Oleh sebab itu, -Dengan demikian, -Oleh hal demikian, -Oleh yang demikian, Contoh: -Tamsilnya, -Buktinya -Hal ini dapat kita lihat, -Misalnya, -Sebagai contoh, -Sebagai analoginya, -Contohnya (tidak boleh berdiri sendiri) -Justifikasinya ialah.. -Biar kita lihat, / biar kita ambil contoh, -Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah -Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah… |
Kesannya..
Menyatakan kesan daripada huraian yang telah dibuat.
K – KESAN DARIPADA CONTOH | -Sehubungan dengan itu, -Ekoran daripada peristiwa / isu itu, -Rentetan daripada hal itu, -Lanjutan daripada… -Implikasinya / impaknya, -Kesannya, -Natijahnya, (kesan negatif sahaja) -Dengan berbuat / keadaan sedemikian |
Ungkapan menarik
Menulis ungkapan bagi menjadikan karangan lebih menarik.
U – UNGKAPAN MENARIK | -Bak / persis kata peribahasa -Bak / persis kata peribahasa Melayu -Bak / persis kata orang tua-tua, -Bak / persis kata Mutiara, -Bak / persis kata peribahasa, -Bak / persis kata cendekiawan, -Hal ini sama dengan peribahasa, -Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni… -Fenomena ini dikatakan -Masalah ini sama dengan peribahasa… -Bak kata aforisme intelektual bumiputera… (aforisme=ungkapan yang tepat) (peribahasa tidak boleh berdiri sendiri dalam karangan) |
Memberi Penegasan
Memberi penegasan di atas isi dan huraian yang telah dibuat.
P – PENEGASAN | -Ringkasnya, -Tegasnya, -Izharlah bahawa -Sesungguhnya, -Pendek kata, -Jadi, -Oleh itu, -Jelaslah / Jelaslah bahawa -Maka nyatalah di sini bahawa -Justeru, kita dapat simpulkan bahawa -Ironinya, tidak dapat dinafikan bahawa (menunjukkan pertentangan idea) -Sudah terang lagi bersuluh, |
Pengulangan Perenggan
Teknik yang sama digunakan untuk perenggan yang seterusnya. Ini akan menjadikan karangan lebih berstruktur dan huraian yang lebih bersistematik lalu menjadikan karangan lebih menarik.
Contoh Penanda Wacana
Penanda wacana akan digunakan setiap kali apabila menulis karangan. Berikut adalah senarai penanda wacana yang boleh anda gunakan.
Pemilihan penanda wacana yang betul dan tepat boleh menjadikan penghasilan karangan lebih menarik dan ‘natural’. Penggunaan penanda wacana yang sama dalam satu karangan perlu dielakkan agar karangan yang dihasilkan tidak membosankan!
Contoh karangan
Salah satu punca yang signifikan berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar adalah kurangnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Hal ini tercetus apabila ibu bapa kini lebih mengutamakan kerjaya sehingga alpa terhadap tanggungjawab mereka terutamanya dalam mendidik anak-anak. Dalam hal ini, sikap ibu bapa yang terlalu sibuk sudah semestinya akan menyebabkan anak-anak mereka berasa terabai dan melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka. Tamsilnya, apabila anak-anak akan terdorong melakukan masalah disiplin kerana mereka beranggapan bahawa ibu bapa mereka tidak akan mengambil tahu tentang mereka dan mereka bebas melakukan pelbagai perkara. Ekoran daripada isu ini, ibu bapa seharusnya mengambil berat terhadap anak anak dan mendidik mereka dengan sebaiknya sejak kecil ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Oleh itu, kasih sayang terhadap anak-anak amat penting bagi membentuk sikap anak-anak yang berperibadi mulia. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana, rakan merupakan orang yang paling banyak meluangkan masa bersama mereka di sekolah mahupun di rumah. Oleh sebab itu, setiap tingkah laku negatif yang ditunjukkan oleh rakan-rakan akan mempengaruhi tindakan mereka ke arah yang tidak baik juga. Sebagai contoh, pelajar akan menyertai perbuatan rakan mereka seperti merokok, membuli, ponteng sekolah dan sebagainya. Natijahnya, perkara ini menyebabkan mereka bertindak untuk melakukan masalah disiplin tanpa memikirkan kesan buruknya. Oleh itu, pengaruh rakan sebaya sememangnya merupakan punca yang negatif yang menyumbang kepada masalah disiplin pelajar. Di samping itu, pengaruh media elektronik merupakan punca berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini wujud akibat daripada media elektronik banyak mempengaruhi tingkah laku remaja dengan filem-filem yang ditayangkan dalam kaca televisyen menayangkan unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Oleh yang demikian, golongan pelajar yang kurang matang secara tidak langsung akan terpengaruh dengan segala perkara negatif yang ditayangkan dalam filem tersebut. Misalnya, jika mereka melihat filem yang mempunyai kegiatan seperti membuli, mereka akan mempunyai idea untuk membuli orang lain tanpa memikirkan kesan sampingannya. Rentetan daripada situasi tersebut, mereka merasakan apa yang ditayangkan itu merupakan sesuatu yang baru dan mereka mempunyai rasa ingin mencuba melakukannya. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh media elektronik merupakan punca berlakunya masalah disiplin pelajar. Seterusnya, peraturan sekolah yang tidak ketat juga merupakan salah satu punca berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar tidak akan berasa takut untuk melakukan kesalahan kerana bagi mereka tiada hukuman akan dikenakan. Pihak sekolah tidak peka dengan masalah disiplin pelajar dan tidak memberi hukuman serta merta kepada pelajar yang melakukan masalah disiplin. Sebagai contoh, terdapat juga pihak sekolah yang merahsiakan segala masalah disiplin yang berlaku kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Implikasinya, sikap sesetengah pihak sekolah seperti ini yang akan menjadikan pelajar-pelajar lebih terdorong untuk melakukan kesalahan disiplin tanpa rasa bersalah. Sikap acuh tak acuh yang diberikan oleh guru disiplin ini tidak akan menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Tegasnya, peraturan sekolah yang tidak ketat ternyata merupakan punca terbesar masalah disiplin berlaku dalam kalangan pelajar. |
Cikgunet berharap teknik IMBaKUP ini bermanafaat bagi pelajar-pelajar untuk menulis karangan.
0 Comments