Berikut adalah panduan umum rumusan BM SPM mengikut Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
1. Petikan berdasarkan bahan sumber yang mempunyai tidak kurang daripada dua fokus.
2. Bahan rumusan terdiri daripada sekurang-kurangnya dua bahan daripada sumber yang berbeza (contoh: petikan prosa, puisi dan grafik) tetapi mempunyai tema yang sama.
3. Tugasan tidak dinyatakan dalam arahan soalan.
4. Murid perlu mengenal pasti SEMUA fokus yang terdapat dalam semua bahan.
5. Markah keseluruhan isi ialah 20 markah.
6. Murid perlu mengemukakan 8 isi lengkap (isi wajib diambil daripada setiap bahan dan menyentuh setiap fokus).
7. Markah bahasa dinilai secara holistik 10 markah.
8. Rumusan ditulis tidak melebihi 120 patah perkataan.
9. Hanya isi tersurat sahaja, tiada isi tersirat.
10. Kesimpulan perlu berdasarkan tema bahan.
11. Jawapan ditulis dalam bentuk esei/perenggan.
PANDUAN PENULISAN RUMUSAN
AGIHAN MARKAH ISI
PERINGKAT | MARKAH |
PENDAHULUAN | 2 MARKAH |
ISI (8 ISI X 2) | 16 MARKAH |
KESIMPULAN | 2 MARKAH |
JUMLAH | 20 MARKAH |
AGIHAN MARKAH BAHASA
PERINGKAT | MARKAH |
CEMERLANG | 8-10 MARKAH |
BAIK | 5-7 MARKAH |
SEDERHANA | 3-4 MARKAH |
LEMAH | 1-2 MARKAH |
CONTOH SOALAN RUMUSAN
BAHAN 1
Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Setiap tahun Malaysia meraikan Hari Kebangsaan. Diam tidak diam sudah lebih separuh abad negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah. Menjadi rutin tahunan, menjelang sahaja bulan Ogos atau juga dikenali bulan kebangsaan ,agensi atau kementerian yang berkenaan akan mula menjalankan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sebagai usaha untuk meningkatkan semangat patriotik. Program-program yang bercorak kenegaraan seperti pertandingan nyanyian lagu patriotik dan pementasan teater drama juga dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan agensi-agensi kerajaan supaya mesej semangat cinta akan negara sampai kepada golongan sasaran. Namun, program-program tersebut kurang berjaya dalam mencapai matlamatnya kerana kurangnya penghayatan para remaja dalam aktiviti bercorak kemerdekaan tersebut.
Perkara yang menjadi kebimbangan banyak pihak ialah generasi muda tidak mengambil endah tentang hari kebangsaan. Mereka sewajarnya menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam. Sebagai generasi muda yang bertanggungjawab mereka berperanan untuk membina kejayaan negara iaitu sanggup bekerja keras untuk negara. Mereka juga perlu mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan. Hal ini demikian kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang 2020.
Tanggung jawab lain yang perlu dilakukan oleh generasi muda ialah mereka perlu membantu pihak kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana keamanan dapat mengelakkan negara daripada serangan musuh sama ada berbentuk fizikal atau psikologi. Tambahan pula, tugas generasi muda adalah untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan. Dengan ini, semua rakyat dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan bersama-sama. Selain itu, generasi muda yang akan mengisi perjuangan kemerdekaan hendaklah memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan oleh setiap rakyat di negara ini. Sesungguhnya kejayaan negara dalam fasa kedua 58 tahun kemerdekaan memerlukan komitmen semua pihak terutama generasi muda.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Di manakah Semangat Patriotisme Kita’
oleh Dewan Siswa, Ogos
CARA MENJAWAB SOALAN RUMUSAN
PANDUAN RINGKAS JAWAPAN
PENDAHULUAN 2 FOKUS
- Rumusan membincangkan ___ fokus1 ___ dan ___fokus2 ____. (2 markah)
- Rumusan membincangkan ___ fokus 1 ___. (1 markah)
PENDAHULUAN 3 FOKUS
- Rumusan membincangkan ______ fokus1 __, fokus2 ___ dan __ fokus3 ___. (2markah)
CONTOH CADANGAN JAWAPAN PENDAHULUAN
ISI BAHAN 1 (PETIKAN)
Fokus 1 (Usaha-usaha meningkatkan semangat patriotisme generasi muda)
1.Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.
2.Program-program yang bercorak kenegaraan (seperti pertandingan nyanyian lagu patriotik dan pementasan teater drama) juga dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan agensi-agensi kerajaan.
CONTOH CADANGAN JAWAPAN ISI
ISI BAHAN 1 (PETIKAN)
Fokus 2 (Tanggungjawab / peranan / tugas generasi muda)
1.Membina kejayaan negara.
2.Mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan.
3.Membantu pihak kerajaan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.
4.Memastikan Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan.
5.Mengisi perjuangan kemerdekaan.
6.Memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan oleh setiap rakyat di negara ini.
CONTOH CADANGAN JAWAPAN ISI
ISI BAHAN GRAFIK
Fokus 1-Bahan 2 (Usaha-usaha meningkatkan semangat patriotisme generasi muda)
1.Pelancaran Bulan Kebangsaan.
2.Menyambut Hari Kebangsaan.
3.Menyambut Hari Malaysia.
4.Menghayati tema hari kebangsaan.
CONTOH CADANGAN JAWAPAN ISI
PENUTUP RUMUSAN
1.2 markah
2.Terdiri daripada tema, cadangan , kesan
3.1 ayat sahaja
CONTOH CADANGAN JAWAPAN KESIMPULAN
PENGIRAAN ISI (2 FOKUS)
BILANGAN ISI BAHAN 1 | BILANGAN ISI CALON | BILANGAN ISI DITERIMA |
Fokus 1 (usaha-2 isi) | 2 | 2/1/0 |
Fokus 2 (peranan-6 isi) | 6 | 5/6 |
BILANGAN ISI BAHAN 2 | ||
Fokus 1 (usaha-4 isi) | 2 | 1/2 |
JUMLAH | 8 |
PENGIRAAN ISI : CONTOH 2 (jika 3 fokus)
BILANGAN ISI BAHAN 1 | BILANGAN ISI CALON | BILANGAN ISI DITERIMA |
Fokus 1 (langkah – 6 isi) | 6 | 5 |
Fokus 2 (punca – 2 isi) | 1 | 1/0 |
BAHAN 2 | ||
Fokus 1 (langkah – 2 isi) | 1 | 1 |
BAHAN 3 | ||
Fokus 3 (Kesan – 3 isi) | 2 | 2/1 |
JUMLAH – | (Kombinasi setiap bahan) | 8 |
CONTOH CADANGAN JAWAPAN LENGKAP
Rumusan membincangkan usaha-usaha meningkatkan semangat patriotisme generasi muda dan tanggungjawab generasi muda untuk meningkatkannya.
Usaha-usaha meningkatkan semangat patriotism generasi muda termasuklah mengadakan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan program-program bercorak kenegaraan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan agensi-agensi kerajaan. Sementara itu, usaha yang lain pula, iaitu mengadakan pelancaran Bulan Kebangsaan pada setiap tahun. Tanggungjawab generasi muda termasuklah membina kejayaan negara dengan bekerja keras. Selain itu, mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan. Seterusnya, membantu pihak kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara. Di samping itu, memastikan Malaysia akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan. Akhir sekali, memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan.
Kesimpulannya, semua pihak perlulah memberi perhatian tentang isu patriotisme agar generasi muda terus memperkukuh perpaduan dalam membangunkan negara pada masa hadapan.
(120 patah perkataan)
Selamat belajar, Semoga Berjaya!
Bahan adalah daripada Cg Norhafizah Binti Yahaya, SMK Chukai.
Berikut adalah salah satu lagi contoh cara menulis rumusan BM SPM.